Arahan .
Tuliskan beberapa nilai/ pengajaran yang boleh kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjang karangan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tuliskan jawapan kamu dalam satu perenggan.
Petikan 1
Pada pagi itu Kamal tergopah-gapah untuk ke sekolah kerana terlewat bangun. Oleh itu dia tidak sempat bersarapan. Selepas bersalam dengan ibu, dia terus berjalan kaki menuju ke rumah Kumar yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Mereka telah bercadang untuk pergi bermandi di sungai. Oleh itu mereka telah menuju ke sebatang sungai yang terletak jauh dari rumah mereka. Mereka menukar pakaian lalu bermandi di sungai itu. Setelah puas bermandi, mereka berasa lapar. Dengan itu mereka mencuri buah rambutan di sebuah dusun buah-buahan yang berhampiran dengan sungai itu. Apabila sampai waktu tengahari, Kamal dan Kumar pulang ke rumah bersama kawan-kawan lain yang balik dari sekolah.
Pengajaran
1. Kita tidak boleh menipu ibu bapa.
2. Ponteng sekolah akan merugikan diri sendiri
3. Jangan melakukan kerja yang tidak berfaedah.
4. Tertinggal dalam pelajaran akan merugikan kita.
5. Jangan mencuri harta benda orang.
6. Masa depan akan menjadi gelap jika tertinggal dalam pelajaran.
Contoh jawapan
Sebagai seorang murid yang bertanggungjawab mestilah bangun awal untuk pergi ke sekolah. Menipu ibu bapa adalah perbuatan yang tidak baik. Jika ponteng sekolah kita akan tertinggal dalam pelajaran. Masa depan kita akan menjadi gelap jika kita tidak mementingkan pelajaran. Mencuri harta benda orang lain adalah amalan yang tidak baik. Perbuatan sedemikian akan mencemarkan nama baik keluarga.
Petikan 2
Esok Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang. Aku sekeluarga sibuk melakukan persiapan akhir untuk menyambut kedatangannya. Sejak pagi lagi, ibu tidak menang tangan menyediakan pelbagai juadah. Aku dan kakak turut membantu ibu di dapur. Kali ini ib memasak ketupat, rendang daging, gulai ayam dan kuah kacang. Ibu turut menyediakan makanan kegemaranku iaitu lontong.
Di belakang rumah ayah dan abang sedang sibuk mengacau dodol. Tahun ini merupakan tahun kedua kami menyediakan dodol sebagai juadah hari raya. Adik-adikku pula bersorak riang sambil bermain bunga api di halaman rumah.
“Baik-baik bermain bunga api itu!” jerit ibu yang turut menjenguk keluar tingkap. Dalam kesibukan di dapur, ibu tetap bimbang akan keselamatan ketiga-tiga orang adikku itu. Selepas membantu ibu akau beralih ke ruang tamu pula. Aku menyusun kad-kad ucapan hari raya yang telah diterima daripada sanak-saudara dan rakan-taulan yang kusayangi Kad-kad itu aku gantungkan pada ranting pokok yang diletakkan di dalam pasu bunga.
Aku tidak sabar menanti hari esok kerana selepas menunaikan solat hari raya kami sekeluarga akan bertolak pulang ke kampung ayah. Aku mula merasakan keseronokan berhari raya bersama dengan sanak saudara di kampung.
Contoh jawapan
Sikap suka membantu keluarga yang merupakan sikap yang terpuji. Ini kerana dengan bantu-membantu dapat meringankan beban keluarga dan seterusnya menambah kasih-sayang. Selain itu akiviti bergotong-royong dalam keluarga juga baik, memandangkan banyak kerja dapat disiapkan dengan segera. Bermain bunga api pula, boleh mendatangkan kecederaan dan merupakan satu kesalahan. Menghantar kad-kad ucapan hari raya dapat mengeratkan tali silaturahim dan kasih sayang selain kad-kad yang diterima dapat menghias rumah dengan cantik. .Berziarah merupaka amalan yang baik kerana dapat mengeratkan hubungan sanak-saudara yang jauh.
No comments:
Post a Comment